Makluman Kes Phishing di PKNS
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera,
Adalah dimaklumkan bahawa pihak PKNS telah mengesan terdapat cubaan phishing melalui emel yang menggunakan nama pengurusan tertinggi PKNS.
Untuk makluman, phishing merupakan satu bentuk penipuan siber di mana pihak yang tidak bertanggungjawab menyamar sebagai individu atau organisasi yang dipercayai bagi memperdaya penerima supaya memberikan maklumat tertentu, membalas emel, atau mengambil tindakan yang boleh menjejaskan keselamatan maklumat. Kebiasaannya, emel tersebut kelihatan seolah-olah sah dan meyakinkan, namun sebenarnya dihantar oleh pihak yang tidak berkaitan.
Sehubungan dengan itu, YBhg. Dato’/Datin/Tuan/Puan adalah diingatkan agar sentiasa menyemak kesahihan alamat emel pengirim terlebih dahulu sebelum memberikan sebarang maklum balas atau berkongsi maklumat. Untuk perhatian, alamat emel rasmi PKNS hendaklah menggunakan domain @pkns.gov.my. Sekiranya emel diterima menggunakan nama individu tertentu tetapi bukan daripada domain rasmi tersebut, tuan/puan hendaklah berwaspada dan membuat semakan terlebih dahulu.
Langkah ini amat penting bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini seperti pendedahan maklumat kepada pihak lain yang tidak berkenaan.
Sekiranya YBhg. Dato’/Datin/Tuan/Puan menerima emel yang diragui atau mencurigakan, mohon agar emel tersebut tidak dibalas dan tindakan segera diambil dengan menyekat (block) pengirim serta melaporkannya sebagai spam.
Kerjasama dan keprihatinan YBhg. Dato’/Datin/Tuan/Puan dalam perkara ini amatlah dihargai.
Sekian, terima kasih.